Untuk Iklan, sila klik...

Friday, July 9, 2010

Pesanan buat saudara saudariku...

Rupa paras yang kacak, tampan, cantik dan menawan dilengkapi dengan bentuk badan yang anggun lagi mempesonakan sudah tentu menjadi idaman setiap manusia di bumi. Tambahan pula dengan pakej suara yang merdu serta enak didengar, kepetahan melontar ucapan di khalayak, kecekapan memberi pendapat yang bernas lebih menjadi pingitan setiap makhluk bernama insan. Mana tidaknya, berjalan kesana ada peminat. Berjalan kesini, ada peminat juga. Siapa yang tidak mahu?

Namun sedarlah... Anda adalah antara mereka yang telah dikurniakan set kelengkapan diri yang sempurna seperti yang disebut tadi. Biarpun terdapat beberapa kekurangan, namun kelebihan akal fikiran yang telah diberikan kepada kita tentunya tidak ada tolok bandingnya... Kelebihan yang membezakan antara kita dengan lembu, kerbau, ayam dan sebagainya. Bersyukurlah kerana roh kita ditiupkan ke dalam jasad seorang insan. Jika kita tidak bersyukur, apa lagi yang kita mahukan selain dari pemberian yang agung ini?

Keperihalan tentang syukur manusia ini mendapat pertikaian oleh Allah Taala dalam Surah ar-Rahman yang bermaksud, "Maka nikmat tuhan yang manakah kamu dustakan?" Teguran ini jelas membuktikan yang manusia ini sebenarnya mudah lupa pada nikmat yang telah dikecapinya... Ayat ini juga disebut berulang-ulang kali untuk menunjukkan bahawa manusia ini sangat-sangat mudah mengkufuri akan pemberian-Nya. Buktinya, masa bilakah kita menyebut nama Allah? Adakah setiap waktu mulut dan hati kita sentiasa berzikir nama-Nya? Jika ya, Alhamdulillah. Anda tidak tergolong dalam golongan ini. Jika tidak, anda dapat fikirkan sendiri. Bila susah, sakit, sentiasa berada di atas tikar sejadah bermunajat. Apabila senang, sihat, bagaimanakah kita?

Anggota tubuh badan yang dikurniakan Allah adalah sesuatu yang amat penting untuk dipelihara dan dijaga seelok-eloknya. Ini sebagai tanda bahawa kita benar-benar mensyukuri nikmatnya atau tidak. Oleh itu, ada batas-batas dan had untuk kita mempamerkan diri di hadapan khalayak. Anggota aurat wajib ditutup agar kehormatan diri dapat dilindungi. Terutamanya kepada saudari-saudari sekalian. Apalah yang nak dibanggakan dengan rambut yang ikal mayang dan lembut bak benang sutera, susuk tubuh yang menawan bagaikan permaisuri kerengga, suara yang lunak mengalahkan burung kelicap yang bersiul jikalau suatu hari nanti semua itu akan menjadi bahan bakar kepada api neraka? Awas! janji Allah tak pernah tergelincir walaupun sebesar zarah.

Sikap yang kita tonjolkan mempamerkan akhlak sebenar diri kita. Adakah kita sedar bahawa semakin hari akhlak kita semakin jauh menyimpang dari akhlak Rasulullah S.A.W. Biarpun ada yang berkata bahawa kita hanya manusia biasa, tiada tandingnya dengan baginda, namun apa yang dituntut oleh Islam adalah mencontohi dan mengikuti keperibadian baginda yang mulia melalui sunnah baginda. Baginda diutuskan kepada kita sebagai 'khairu khalqillah' (sebaik-baik ciptaan Allah). Tiada lagi alasan untuk menyatakan tiada contoh terbaik untuk dijadikan teladan. Turutilah sunnah Rasulullah, nescaya kita akan beroleh kemenangan di akhirat kelak. Insya Allah.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails