Untuk Iklan, sila klik...

Thursday, October 28, 2010

5 JANJI KITA SETIAP HARI

Sahabat,

Tika fajar menyinsing di ufuk timur, tika manusia masih enak mengharungi denai-denai mimpi yang indah, apabila kokokan mula bersahut-sahutan, masihkah kau ingat pada janjimu kepada tuhanmu, untuk meregangkan urat-urat dan tulang-belulangmu sebagai sebuah senaman semulajadi kepada setiap umat Islam pagi ini. Apakah terlalu berat untuk kau keluar dari pelukan selimut nipismu untuk mengerjakan fardhu subuh berjemaah bersama-sama mukmin yang lain di rumah Allah? Sedangkan di pagi harimu kau mampu bekerja kuat bersiap untuk melaksanakan tugas harianmu. Renungkan...

Sahabat,

Waktu kemuncak harimu kau isi dengan pekerjaan harianmu penuh tekun. Kau laksanakan amanah yang kau galas dengan penuh bersemangat. Kau berinteraksi dengan masyarakat dengan penuh girang. Lantaran itu perlukah kau lupakan lima minitmu untuk kewajipanmu yang lebih besar dan lebih berat? Apakah janjimu tika ini masih terpahat di hatimu? Hanya beberapa ketika kau harus luangkan merehatkan diri dari kesibukan tugasmu dengan berdoa dan bermunajat pada tuhanmu yang mengurniakan rezeki padamu. Apakah janjimu itu kau penuhi? Renungkan...

Sahabat,

Petangmu adalah waktu paling letih dan penat bagimu. Kau bersiap-siap untuk menghentikan tugasmu untuk hari ini. Tatkala menunggu menyambung kerjamu untuk hari esok, apakah kau tidak tertunggu fardhu asar yang telah kau janjikan pada tuhanmu untuk laksanakannya? Rezeki yang kau peroleh dari hasil titik peluhmu, lupakah kamu siapa yang memberikannya? Benarlah fiman tuhanmu, Demi masa (petang), kita di dalam kerugian! Renungkan...

Sahabat,

Bilamana kau berhempas pulas seharian bekerja, kau rehatkan diri di perantara dua waktu. Waktu ini adalah waktu melakukan tugas masing-masing walaupun di dalam satu bumbung. Dan waktu ini juga ada yang leka melayan hidangan menarik dari siaran yang buatkan kau sangat ralit. Hinggakan kau sanggup melewatkan kewajipanmu walaupun waktunya tidak panjang, kau lalai dengannya. Syaitan yang lintang-pukang berlari dari deruan azan, bersorak sorai melihat kealpaanmu dengan hal keduniaan. Renungkan...

Sahabat,

Tika ini kau bersama keluarga tercinta, menikmati hidangan yang disediakan dengan penuh selera. Ketika ini juga kau sekeluarga menceritakan perkara-perkara yang kau jalani siang tadi. Bergurau senda bersama saudara memang indah bila tibanya waktu ini. Tapi lupakah kau pada kewajipanmu yang terakhir dalam hari ini sebelum kau memejamkan mata untuk melepaskan lelah tugasmu seharian. Adakah lengkap harimu tatkala membuka matamu esok pagi tanpa mendirikan isya'? Kau sangka tugasmu di dunia ini telah kau lengkapkan padahal kau tidak ingat pada tugasmu untuk hari akhirat. Renungkan...


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails