Untuk Iklan, sila klik...

Monday, February 7, 2011

Ingat2 Wahai Huffaz

Beringatlah wahai sahabat Huffaz sekalian,

Title 'al-Hafiz' bukan penyukat keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Bukan juga tali ukur ketinggian amalan kita di sisi-Nya. Dan bukanlah penentu mendapat ganjaran syurga secara mutlak. Ianya sebagai sandaran dan pendorong ke arah mendekatkan diri kepada Allah. Tak diciptakan al-huffaz di muka bumi selain daripada untuk memelihara dan mengekalkan kesucian dan kehormatan al-Quran. Jadi berusahalah menjadi para huffaz yang sejati dan diredhai-Nya.

Bukanlah dipampangkan di dada-dada para penghafaz al-Quran gelaran al-Hafiz sebagai kebanggaan pada pemiliknya. Bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk status diri sebagai seorang yang rajin menghafaz al-Quran, tanpa sedar yang kelebihan menghafaz itu sebenarnya kurniaan dari Allah kepada diri yang serba kekurangan. Maka celakalah bagi mereka yang memperlakukan sedemikian kerana mempergunakan al-Quran sebagai mahkota keangkuhan untuk diri sendiri. Sesungguhnya hanya Allah yang layak bermegah-megah dengan kekuasaan-Nya.

Sebaliknya apabila dikurniakan status tersebut, semakin tunduklah kita dari pandangan manusia, semakin jauhlah kita dari segala kecelaan dan kejahatan dan semakin dekatlah diri kita dengan Allah S.W.T. Adapun yang memuji-muji, jadikan ia sebagai ikutan untuk orang lain menjejaki, bukan sebagai mahkota untuk mengangkat diri. Huffaz bukan sahaja mereka yang menghafaz ayat-ayat al-Quran malah mereka juga menghayati dan beramal dengannya. Renungi diri, kitakah al-Hafiz yang seperti berikut.

Jagalah akhlak kerana isi kandungan al-Quran adalah akhlak Rasulullah dan baginda merupakan sebaik-baik makhluk di muka bumi. Apa gunanya jadi 'penghafaz al-Quran' kalau akhlak tidak mencerminkan peribadi al-Quran? Apa gunanya jadi 'pemelihara kalamullah' kalau suruhan dan perintah al-Quran tak dituruti? Bermanfaatkan menjadi 'pencinta qaulullah' jika amaran dan larangan al-Quran tidak diendahkan?

Al-Quran merupakan hujah yang teragung kepada kita untuk menentang dan mematahkan kata-kata kaum musyrikin dan kafirin dalam setiap perdebatan dan persoalan. Setiap dalil yang dipetik dan dikeluarkan dari al-Quran tiada sangkalan lagi. Bahkan setiap ayat daripadanya tidak mampu dipertikai dan diubah melalui akal manusia walau sedalam mana sekalipun. Tetapi janganlah lupa, al-Quran juga boleh menjadi hujah keatas anda selaku pemelihara ayat-ayatnya. Takutlah pada pensaksian al-Quran kerana al-Quran adalah saksi yang teragung kepada anda dan juga ke atas anda di Mahsyar kelak.

Wallahu a'lam.




2 comments:

Related Posts with Thumbnails