Untuk Iklan, sila klik...

Sunday, April 3, 2011

Antara HAK dan MARUAH...



Perselisihan atau pertelingkahan selalunya terjadi apabila berlakunya ketidak adilan antara dua pihak atau lebih yang terlibat. Ini bermakna selagi mana tidak ada apa-apa yang berlaku, sama ada berat sebelah kepada mana-mana pihak, ataupun penindasan yang dilakukan, mana mungkin ada suara2 yang akan bangkit menyatakan tentang perkara yang telah terjadi. Secara umumnya di sini, keadilan dalam melaksanakan sesuatu yang melibatkan orang lain amatlah penting bagi menjaga keharmonian dan ketenteraman semua pihak.

Menjadi kelaziman, sesuatu perselisihan atau pertelingkahan akan 'membuka pekung' orang lain dan saling tuding menuding antara satu sama lain. Tidak kiralah sama ada sebelah pihak yang benar mahupun pihak yang menindas. Masing-masing punyai egonya sendiri. Biarpun ada yang terkilan, terasa, termakan hati atau segala-galanya yang 'ter', masing-masing tetap akan mempertahankan maruah masing-masing daripada 'dikalahkan' pihak satu lagi. Inilah punca berlakunya perpecahan antara pihak-pihak yang asalnya daripada 'satu'.

Bermula dengan suatu benih kecil, kemudian bercambah menjadi dahan-dahan masalah dan seterusnya berkembang menjadi ranting-ranting kaitan yang mana walaupun tidak mempunyai apa-apa hubungan, tetap diambil dan dikira menjadi salah satu bahan permasalahan. Lumrah manusia yang sentiasa mahukan kemenangan, tidak mudah untuk menundukkan keegoan masing-masing, walaupun sudah terang-terang berada di jalan yang menyimpang. Mungkin juga atas desakan persekitaran atau memang sikap lahiri yang memang hanya inginkan 'kejayaan' walaupun tidak berserta dengan kebenaran.

Inilah realitinya apabila kurang rasa tanggungjawab dan amanah yang ada pada diri. Pendek kata, bila dunia dalam genggaman, apa saja boleh dilakukan. Sedarlah wahai manusia, jika hendak ikutkan hati dalam menjalankan sesuatu perkara, ikutlah dulu syariat dan sunnah. Biar semuanya jadi sempurna. Jauhi penindasan dan kezaliman. Allah amat membenci orang-orang yang melakukan kezaliman.

Bila berbicara tentang hak, masing-masing akan keluarkan pandangan, pendapat dan cerita mereka. andainya semua pihak berkata-kata sambil mengingati Allah, nescaya segalanya akan menjadi tenang dan masalah akan dapat diselesaikan. Yang menjadi masalahnya ialah tiada kesedaran dalam diri, biar di pihak yang benar, tambahan lagi pada yang bersalah. Buktinya jika ada kesedaran, pastinya takkan berlaku sebarang pendustaan atau penyelewengan fakta dari bibir-bibir sang pentutur yang menjadi penyebab kepada perbalahan dan penindasan.

Dalam bercakap, tak semestinya kita yang betul. Dalam perbuatan, tak semestinya kita yang kena. Dalam membuat keputusan, tak semestinya kita yang harus diutamakan. Kebenaran harus dicari dan ditegakkan, barulah hak boleh dimiliki. Kalau tidak, sampai bila pun takkan ke mana. Akhirnya hanya tinggal dendam dan kekecewaan yang tertanam di hati. Tanggungjawab yang dipikul seharusnya dijalankan dengan betul, bukan hanya pada nama dan kepentingan diri.

Kepada pihak yang rasa-rasa bersalah, sedarlah bahawa di dalam dunia ini, tak ada satu pun yang kita akan dapat bawa pulang ke SANA. Jadi fikirkanlah tentang mati, kerana hidup kita takkan lama. Lambat laun sakit juga. Sakit-sakit mati akhirnya. Jadi, buat panduan dan pedoman, jangan dikejar dunia, kelak di akhirat tak punya apa-apa..

Wassalam~


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails